Saturday, March 3, 2012

Peristiwa Pemecatan Khalifah Islam Terakhir Sultan Abdul Hamid

Peristiwa Pemecatan Khalifah Islam Terakhir
Sultan Abdul Hamid
( 1876 - 1909 )

Gambar Khalifah terakhir kita Sultan Abdul Hamed II meninggalkan istana
atas arahan Presiden Turki pertama Mustafa Kamal Atartuk pada 3 Mac 1922



Malam itu, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya dikunjungi oleh sekumpulan manusia yang tidak akan dilupakan oleh sejarah.

Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersama beliau adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan.
“Bukankah waktu seperti ini adalah waktu khalifah menunaikan kewajipannya terhadap keluarga. Tidak bolehkah kalian berbincang dengan aku pagi esok?”, Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tergesa-gesa.
Tiada simpati di wajah mereka.“Ummah telah memecat kamu”, Esat Pasha memberitahu. Angkuh benar bunyinya.Satu persatu wajah ahli rombongan itu diperhati oleh Sultan Abdul Hamid.
“Apakah mereka ini sedar dengan apa yang mereka lakukan?”, baginda berfikir.


“Jika benar Ummah yang menurunkan aku, mengapa kamu datang dengan lelaki ini?”, Sultan Abdul Hamid menundingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.
“Apa kena mengenanya Yahudi ini dengan Ummah?”, wajah baginda kemerah-merahan menahan marah.

Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dia jugalah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika mahu mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin dengan penuh licik lebih sedekad yang lalu (1898). Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tapak penempatan Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.

Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermastautin di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat nyawanya.

“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menghantar berita penggulinganku malam itu”, Sultan Abdul Hamid meluahkan derita hatinya di dalam diari baginda.

Perancangan untuk menggulingkan baginda sudah dimulakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat kebelakangan ini, nama baginda sudah tidak disebut di dalam khutbah.
“Walaupun engkau dipecat, nyawamu berada di dalam jaminan kami”, Esat Pasha menyambung katanya.

Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puteri baginda yang seorang lagi. Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian malam itu.
“Bawa adik-adik kamu ke dalam”, Sultan Abdul Hamid mengarahkan Amir Abdul Rahim membawa adik beradiknya ke dalam bilik.

“Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma seperkara yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai bapa perlu menyekolahkan mereka”, Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Baginda sudah tahu yang tiada gunanya untuk keputusan yang dibawa oleh rombongan itu dibantah.

Itulah kerisauan terakhir baginda. Mengenangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan adalah jumlah yang besar.Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat-empat lelaki pengkhianat Ummah itu. Malam itu juga, baginda bersama ahli keluarganya hanya dibenarkan membawa sehelai dua pakaian, dan mereka diangkut di dalam gelap menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci. Khalifah terakhir umat Islam, dan ahli keluarganya dibuang negara ke Salonika, Greece.

Gerombolan tentera kedengaran melangkah penuh derap ke istana. Meriam diletupkan sebagai petanda Sultan Mehmed V Resad ditabal menjadi raja boneka. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V Resad menjadi Khalifah ke 99 umat Islam semenjak Abu Bakr al-Siddiq r.a. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tiada kuasa. Hanya boneka umpan menahan pemberontakan masyarakat terhadap pembubaran Khilafah Othmaniyyah.

“Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku terasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini menghempap dadaku, diangkat penuh kelegaan” kata Sultan Abdul Hamid di dalam diarinya.

Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis sama. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika di Greece penuh misteri.

“Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua”, kata Sultan Abdul Hamid kepada sekalian kaum kerabat baginda.

Kereta api meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Osman, berakhir malam itu. Palitan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali.

Dalam suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas kerusi kereta api sambil dipicit oleh anaknya Fatimah.

“Sabarlah anakku, Ummah tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini”, baginda mengusap wajahnya dengan linangan air mata.

Lama benar baginda dan ahli keluarganya dikurung di istana Yahudi yang buruk itu. Mereka dikurung di dalam bilik tanpa perabot. Pintu dan tingkap istana, dilarang daripada dibuka. Hari demi hari, adalah kematian sebelum mati bagi baginda sekeluarga. Akhirnya pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dibawa pulang ke Istanbul, dan anak-anaknya bercerai berai, dibuang ke Perancis sebagai pengemis dan pelarian yang merempat di jalanan.

Sultan Abdul Hamid dikurung di Istana Beylerbeyi selama 6 tahun.

“Maafkan patik, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal”, doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid berbisik ke telinga baginda.

Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asthma baginda semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa.

Renungan Sultan Abdul Hamid menghancurkan hati doktor tersebut. Bagaimana seorang khalifah umat ini harus menemui ajalnya di tangan beliau.

“Ampunkan aku ya Allah. Tiada upaya bagi hamba-Mu yang lemah ini”, seorang doktor sudah hilang upaya.

Baginda Sultan Abdul Hamid II telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam kurungan di Istana Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi oleh seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar, apakah harga kebodohan mereka membiarkan Khilafah Othmaniyyah dilumpuhkan selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid, 10 tahun yang lalu. Menangislah… tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu.

Nukilan dari muzakirat/diari Sultan Abdul Hamid
Kejatuhan Empayar Othmaniah sebenarnya bermula sejak dari pemerintahan Sultan Mahmud II (1808 -1839) lagi. Kita boleh melihat puncanya dari dua sudut :

Pertama : Pemodenan mengikut arus barat.

Kedua : Meninggalkan amalan Islam.

Ada agenda tersembunyi yang perlu kita fahami. Sepanjang kurun ke 19 berlaku proses perindustrian dan elektonik di Eropah, ianya bukan satu proses semulajadi bahkan satu perancangan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan. Apa yang terjadi ? Kemajuan teknoloji membawa saudara kembarnya yang menjadi protokol atau prosedur bersama – samanya iaitu bon – bon, sekuriti, wang kertas dan lain – lain instrument kewangan.

Bermula dari projek pembinaan keretapi yang memerlukan modal yang besar, cara pembayaran Islam tidak boleh dipakai. Mereka menumpu di Turki sebagai pusat pemerintahan dan Mesir sebagai pusat intelektual Islam. Cara perniagaan atau muamalat islam mesti diketepikan, maknanya keputusan para Ulamak dalam hal – hal perniagaan tidak diperlukan lagi.

Selama ini umat Islam menguasai bidang perniagaan dan perdagagan sementara masyarakat Yahudi dan Kristian membayar jizyah bagi keselamatan mereka dan membenarkan mereka tidak ikut serta dalam kewajipan ketenteraan. Malangnya selepas tugasan penyusunan semula masyarakat diserahkan kepada Bankers Yahudi atas nama untuk memodenkan Khilafah Othmaniah , pekara yang sebaliknya berlaku orang Yahudi dan Kristian menjadi TUAN/Masters kaya raya sedangkan rakyat Khilafah pulak menjadi miskin.

Sultan Mahmud II membentuk tentera diraja bermodelkan tentera British. Tentera jihad diganti dengan tentera makan gaji. SIstem demokrasi diperkenalkan, jawatan wazir besar diganti dengan Perdana Menteri. Cukai dinaikkan.

Tanzimat (reformasi) diperkenalkan pada tahun 1839 oleh Sultan Abdul Mecit . Sistem kerajaan tempatan digantikan dengan model Perancis. Ini menyebabkabkan sistem perniagaan Bazaar, khidmat masyarakat melalui waqaf yang dipanggil imaret dan millet (majlis perlindungan bagi golongan minoriti ) tidak lagi berfungsi . Pendidikan dua aliran diperkenalkan , tradisional dan sekular yang bertulang belakangkan stok, bon dan lain – lain institusi kewangan moden. Ini berlaku secara tidak sedar atas nama memodenkan empayar.

Undang – undang Islam keatas status ahlu Zhimmah dihapuskan. Reformasi Tanzimat memfokuskan kepada pemusatan pentadbiran ( administrative centralization) menggantikan sistem autonomi amiriah tempatan. Tiga wazir yang menjayakan tanzimat ialah Rechid, Ali dan Fuad Pasha. Mereka bersahabat baik dengan banker Yahudi bernama Camondo. Mereka menghabiskan banyak masa mereka di Paris mempelajari teknik permodenan barat. Nasihat dari financial planner Yahudi diperlukan bagi memodenkan empayar.

Kebanyakan orang Yahudi di Istanbul tinggal di Galata. Isaac Camondo menubuhkan Bank Camondo pada tahun 1802. Saudaranya Abraham-Salomon Camondo menggantikannya pada tahun 1832. Kerana sumbangannya yang besar kepada tanzimat beliau dianugerahkan Nishan-I Iftihar dan menjadi Komander Mejidiye pada tahun 1849.

Pada tahun 1842 wang kertas KAIMA diperkenalkan menggantikan dinar dan dirham , ini membawa kepada penguasan banker YAHUDI keatas kedaulatan khilafah. Secara tidak sedar, banker - banker ini dijemput untuk mencipta system kewangan moden dengan system riba mereka melalui bon, kredit, saham dan pengeluaran wang kertas yang dikuasai banker Yahudi. Reformasi kewangan memberi mereka peluang untuk membuka bank – bank baru.

Pada tahun 1845 Kerajaan Othmaniah bersama Mm. Alleon dan Theodore Baltazzi menubuhkan Bank of Constantinople bagi tujuan memberi pinjaman kepada kerajaan. Perang Krimea memberi peluang kepada banker Yahudi berkembang dalam empayar Othmaniah. Kerajaan memerlukan dana untuk peperangan. Bank memberi pinjaman dengan interest. Ottoman Bank ditubuhkan pada tahun 1856, ia menjadi satu langkah kepada penubuhan bank pusat dengan dana dari luar dengan jumlah 500,00 pound sterling. Transformasi modal persendirian kepada Bank Pusat akan membawa kepada system kuasa berada ditangan pemilknya banker – banker Yahudi Antarabangsa.

Keluarga Rothschilds yang terlibat dalam penubuhan Federal Reserve USA juga turut terlibat atas nama pelaburan melalui Alphonse de Rothchilds dan bapaknya James Rothschilds membuka cawangan French Rothchilds Bank di Istanbul.

Kerja – kerja untuk penubuhan bank pusat akhirnya berjaya dengan tertubuhnya La Bank Imperiale Ottomane pada tahun 1863 dengan bantuan Yahudi bernama Emil dan Isaac Pereire. Ini model yang menjadi superbank seterusnya dari Bank pusat kepada Bank Dunia dan International Monetary Fund. Bank ini menjadi bankers bank, dengan deposit dan pengumpul dan pengedaran kredit. Ia akan menentukan kadar antara Bank, memberi pinjaman, jual dan beli, membincangkan pembelian komoditi, memberi dana dan melibatkan diri dalam projek pelaburan dan mengeluarkan dan mencetak wang baru.

Bank Camondo hanyalah bank biasa, Ottoman bank ialah bank dengan dana tempatan seterusnya bank baru Imperial Ottoman bank menjadi Bank Pusat dengan dana antarabangsa. Satu system penguasaan kewangan telah diletakkan batu asasnya. Bank ini akan menyerap masuk dalam setiap aktiviti masyarakat bermula dari kedai runcit. Tidak ada aktiviti masyarakat yang dapat lepas dari Bank. Dari aktiviti jual beli, simpanan seterusnya dana kewangan dan pelaburan , semuanya melibatkan bank.

Mereka menjadi Tuan kepada dunia. Masters of the Worlds.

Pada tahun 1858 bankers Yahudi telah meletakkan syarat pinjaman dengan jaminan tranformasi sosial kepada Kerajaan Othmaniah. Ini menunjukkan sistem ekonomi hutang berkait rapat dengan kejuruteraan sosial. Pada waktu itu jizyah sudah berkubur. Bank Yahudi bertapak, sistem politik Nasrani Kristian menjadi penggerak empayar Othmaniah ! Hak menandatangani kerajaan tergadai kepada peminjam wang. Tahun itu juga , undang - undang tanah baru menafikan hak Sultan. Seterusnya tahun 1867 , orang asing dibenarkan membeli tanah.

Projek keretapi menghubungkan Istanbul ke Vienna , Austria dikatakan akan menghubungkan dunia Islam dan Eropah. Oleh kerana projek ini begitu besar, begitu jugalah peranan penipuan besar oleh bank - bank Yahud di London, Paris dan Brussel dalam membiayai projek ini dengan bon - bon kerajaan Othmaniah. Pada tahun 1873 , berlaku ' crash 1873 ' yang membawa kepada kejatuhan nilai bon - bon tersebut. Projek ini bukan sahaja pembanggunan fizikal dalam bentuk konkrit bangunan semata - mata. Bahkan suatu gerakan yang mengatasi ruang lingkup sempadan nasional dan bangsa tetapi didalangi dengan angka - angka pada dokumen kewangan yan dipanggil saham dan bon.

Pada tahun 1875 Kerajaan Othmaniah diistiharkan muflis kerana tidak mampu membayar hutang. Suruhanjaya Asing dilantik mewakil pemegang saham asing. Kerajaan terpaksa mengenakan cukai terhadap rakyat. Serbia memberotak. Bosnia diserahkan kepada Austria dibawah bendera Othmani. Jalan keretapi tidak siap tetapi separuh dari perniagaan laut telah jatuh ke tangan British.

Kesan mengurangkan perjalanan dari Vienna ke Istanbul dari seminggu ke 40 jam ialah kejatuhan Khilafah Othmaniah.

Sultan Abdul Hamid menjadi Khalifah pada tahun 1876. Beliau mahu kembali kepada pemerintahan asal Othmaniah sebelum tanzimat. Beliau menolak sistem hiraki barat dan mahukan sistem topkapi dan imaret diperintah oleh keluarga diraja Othmaniah semula. Beliau tidak percaya kepada pegawai - pegawai yang berkhidmat sebelumnya. Secara beransur - ansur beliau mengurangkan peranan mereka dalam kerajaan. Beliau berjaya mengurangkan hutang kerajaan.

Pada tahun 1896, perwakilan Zionis telah menemui beliau. Sebagai tawaran untuk mendapatkan Palestin mereka memberi tawaran untuk memperbaiki keadaan krisis kewangan yang dihadapi oleh kerajaan Othmaniah. Bagaimana seorang yang tidak mempuyai tanahairnya sendiri boleh membuat tawaran kepada pewaris salah satu empayar terbesar di dunia. Jawapannya ialah satu bentuk kuasa baru telah muncul, kuasa bank telah mengatasi kuasa kerajaan atau kuasa politik. Kuasa tidak lagi dalam bentuk ketenteraan tetapi dalam bentuk jumlah nombor wang dalam bank. Politik dijadikan alat untuk mengawal masyarakat. Kuasa politik pulak dijadikan alat bank ntuk menjalankan projeknya.

Sultan Abdul Hamid telah mengungkapkan kata-kata bersejarah yang ditujukan kepada Herzl melalui utusan yang dihantar untuk perundingan tersebut :

"Saya menganjurkan supaya dia(Hezrl) tidak meneruskan perkara ini (usaha mendapatkan tanah Palestin). Saya tidak dapat menjualkan walaupun satu kaki persegi daripada tanah ini kerana ianya bukan milik saya, tetapi milik rakyat saya. Rakyat saya telah membentuk serta mengekalkan Empayar ini dengan pengorbanan dan darah, dan kami akan mempertahankannya dengan darah kami sebelum menyerahkannya kepada sesiapapun. Biarlah yahudi-yahudi itu menyimpan sahaja wang mereka yang berbilion-bilion itu. Jika sekiranya Empayar ini berpecah, maka mereka boleh mengambil Palestin secara percuma. Tetapi mestilah dilangkah mayat kami dahulu, dan saya tidak akan membenarkan ianya berlaku atas sebab apapun.."

Sultan Abdul Hamid digulingkan pada tahun 1908. Pada tahun itu juga , pejabat pertama zionis di buka di Palestin dibawah firma Rohschilds. Maka berakhirlah empayar Othmaniah walaupun ia masih belum secara rasmi sehingga tahun 1924.

Tulisan : Ust. Rafidi Hashim (http://www.facebook.com/ustrafidi.hashim)




Wednesday, February 2, 2011

Sejarah Perlantikan Khalifah Ar-rasyidin



Sesungguhnya, demi Allah! Kami tidak memberi jawatanpemimpin kepada seseorang yang memintanya atau terlaluberkeinginan memegangnya.”

(Hadis Rasulullah S.A.W)


Walaupun menegakkan negara Islam dan melantik ketuanegara adalah kewajipan yang sangat besar, tetapi tidak ada ayat yang jelas yang menghuraikan cara pelantikannya. Hanya terdapat peristiwa-peristiwa sejarah Islam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang menjadi panduan cara melantik ketua negara.


Pelantikan Abu Bakar As-Siddiq


Apabila wafatnya Rasullullah SAW, sahabat-sahabat di kalangan kaum Ansar berkumpul di Saqifah Bani Syaidah untuk memilih khalifah bagi mengganti Rasulullah SAW. Mereka berpendapat bahawa sesiapa sahaja dari kalangan sahabat boleh dilantik menjadi khalifah lalu mereka mencadangkan Saad bin Ubadah dari kalangan Ansar memegang jawatan itu.GolonganAnsar juga memainkan peranan yang besar dan banyak berkorban dalam perjuangan menegakkan Islam dan mendirikan negaranya. Di samping itu,bterdapat banyak ayat yang umum dalam perkara khalifah yang merujuk kepada golongan Ansar.

Keluarga Rasulullah SAW yang pula berpendapat bahawa khalifah itu mestilah dari kalanganmereka kerana mengambil kira hubungan keluarga. Adapun golongan Quraisy dari kaum Muhajirin, berpendapat bahawa jawatan khalifah itu hendaklah di kalangan Quraisy Muhajirin kerana ada hadis sahih yang menyatakan imam itu mestilah dari kalangan Quraisy.

Para sahabat berbahas secara syura dengan hangatnya. Mereka tidak melulu seperti difahamkan oleh golongan Khawarij dan tidak berdakyah seperti yang difahamkan oleh golongan syiah. Mereka ditarbiah secara langsung oleh al-Quran dan oleh Rasulullah SAW sendiri. Mereka ialah generasi Islam yang paling ulung berpegang dan beriman kepada firman Allah SWT.

Allah menceritakan,

Dan urusan mereka dijalankan secara musyawarah sesama mereka.”

(Surah as-Syura, ayat 38)

Para sahabat dijamin mendapat redha Allah. Semoga Allah mengampuni dosa mereka kerana jasa yang besar sehingga islam itu sampai kepada kita pada hari ini.

Melalui cara mesyuarat inilah mereka mengambil keputusan memilih Abu Bakar as-Siddiq menjadi khalifah selepas wafat Rasulullah SAW. Mereka bersetuju dengan pendapat golongan Muhajirin dengan memilih khalifah itu daripada kalangan Quraisy yang paling besar pengaruhya. Abu Bakar as-Siddiq memainkan peranan penting ketika berhijrah ke Madinah dan beliau jugadilantik olehRasulullah SAW menjadi imam sembahyang ketika Rasulullah SAW uzur.

Seterusnya semua para sahabat bersetuju melantik Abu Bakar as-Siddiq menjadi Khalifah. Kesimpulannya, pemilihan khalifah itu mestilah diambil dari kalangan mereka yang memenuhi syarat-syarat, dengan keputusan syura serta di kalangan orang-orang yang berpengaruh.


Perlantikan Umar Al-Khattab


Apabila Abu Bakar dalam keuzuran dan merasai tanda-tanda kematian, beliau mengadakan mesyuarat bersama para sahabatnya. Beliau mencadangkan kepada mereka supaya melantik Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah selepasnya dan cadangan itu ditulis dalam surat perutusan yang dibaca kepada orang ramai. Antara ucapan beliau ialah,

Adakah kamu meredhai orang yang aku cadangkan menggantikan aku? Aku tidakmemilihnya kerana hubungan keluarga denganku, aku memilih Umar untuk menjadi khalifahuntuk menggantikan aku. Maka dengar dan taatilah.”

Abu Bakar tidak memaksa Umar dan orang ramai apabila melantik khalifah selepasnya, beliau hanya mengemukakan cadangan. Difahamkan daripada yang berlaku ialah khalifah boleh mencadangkan penggantinya dengan syarat mestilah mendapat persetujuan daripada orang ramai dan mendapat persetujuan daripada orang yang dilantik.


Pelantikan Uthman bin Affan


Apabila Umar didalam keadaan tenat setelah cedera parah ditikam, para sahabat memintanya supaya mencadangkan khalifah selepasnya. Umar menjawab, “Fikirlah dahulu, sekiranya aku mencadangkan pengganti, maka sesungguhya aku mengikut jejak langkah orang yang lebih baik daripadaku kerana Abu Bakar sudah lakukan. Sekiranya aku tidak mencadangkan pengganti, sesungguhnya aku mengikut jejak langkah Rasulullah SAW yang lebih baik daripada aku kerana beliau tidak mencadangkan pengganti selepasnya.”

Seterusnya Umar mencadangkan supaya khalifah dipilih di kalangan enam orang sahabat ulung iaitu Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Al-Zubir bin Awwam, Talhah bin Abdullah dan Saad bin Abi Waqas. Beliau mencadangkan supaya memilih salah seorang di kalangan mereka dengan memberikan beberapa syarat. Antaranya, tempoh pemilihan tidak melebihi tiga hari, jangan memilih anaknya sendiri iaitu Abdullah bin Umar walaupun Abdullah dibenarkan menghadiri mesyuarah dan sekiranya terdapat dua calon yang sama banyak undiannya maka pilihlah orang yang disokong oleh Abdul Rahman bin Auf.

Apabila diadakan mesyuarat, Abdul Rahman bin Auf menarik diri dan meminta jawatan khalifah diberikan kepada sesiapa sahaja di kalangan lima sahabat. Lalu Abdul Rahman bin Auf bertindak menemui orang ramai di kalangan seluruh para sahabat, pemimpin-pemimpin masyarakat dan panglima-panglima tentera. Orang ramai memilih dua nama iaitu Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Apabila undian dibuat, lebih ramai yang bersetuju dengan Uthman bin Affan sebagai khalifah. Pelantikan ini dipersetujui oleh semua para sahabat termasuk juga Ali bin Abi Talib. Uthman bin Affan rasmi menjadi khalifah yang ketiga.


Pelantikan Ali bin Abi Talib


Apabila Uthman bin Affan dibunuh dengan zalim dan kejam sehingga menjadi bencana dan fitnah yang besar kepada umat Islam, orang ramai dating ke rumah Ali memintanya menjadi khalifah. Ali enggan menerimanya dan meminta supaya perkara ini dirujuk kepada pembesar di kalangan sahabat. Suasana menjadi bercelaru kerana mencari pengganti khalifah.

Apabila para sahabat dating menemuinya, Ali menolak lagi, tetapi apabila mereka mendesaknya juga Ali meminta supaya pelantikannya dimaklumkan kepada orang ramai dan dilakukan di masjid. Akhirnya pelantikan itu berlangsung di masjid disaksikan orang ramai termasuk para sahabat. Ali bin Abi Talib diisytiharkan sebagai khalifah yang keempat selepas Rasulullah SAW wafat.


Kesimpulan


Peristiwa-peristiwa bersejarah ini menjadi panduan kepada umat Islam kerana ia merupakan jalan penyelesaian yang dilakukan oleh para sahabat. Ia membuktikan perlaksanaan hukum syarak dijalankan dengan baik oleh para sahabat kerana kewibawaan, keilmuan dan keikhlasan mereka terhadap Islam dan penganutnya. Ia juga membuktikan bahawa pemilihan dan pelantikan khalifah menjadi sempurna kerana :

Pemilihan umat Islam yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin mereka yang jujur dan berwibawa secara langsung. Dicadangkan oleh khalifah sebelumnya dan mendapat persetujuan daripada umat Islam.


Disahkan dengan persetujuan ramai


Sistem mesyuarat inilah yang diamalkan secara sah oleh para ulama dalam melantik khalifah seterusnya. Antaranya semasa pelantikan Umar bin al-Khattab bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang adil dan alim. Apabila diberitahu dan diumumkan oleh para ulama supaya dia menggantikan Sulaiman bin Abdul Malik, beliau terus menaiki mimbar dan berucap,“Sesungguhnya demi Allah aku tidak meminta dilantik dalam perkara ini dan terserah kepada kamulah memilihnya.”

Islam melarang meminta jawatan dan menonjol diri sendiri supaya dilantik menjadi pemimpin. Ia dianggap sebagai cara yang tidak bermoral dan oleh orang yang tidak bermoral.

Rasulullah SAW telah berkata,

“Sesungguhnya, demi Allah! Kami tidak memberi jawatan pemimpin kepada seseorang yang memintanya atau terlalu berkeinginan memegangnya.”

(Direkodkan oleh Bukhari)

Rasulullah SAW pernah berkata kepada Abdul Rahman bin Samurah katanya,

“Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta supaya dilantik menjadi ketua. Sekiranya engkau diberi jawatan itu tanpa memintanya nescaya engkau diberi pertolongan dan juga sekiranya engkau diberi secara memintanya pasti engkau diwakilkan memikul bebannya (tanpa pertolongan)

Thursday, January 20, 2011

Mana Perginya Pemuda-Pemuda Islam?

Pemuda Islam adalah benteng pertahanan jemaah yang paling kukuh. Sekiranya kita menyusuri sirah Rasulullah SAW kita akan mendapati bahawa Rasulullah SAW sendiri berusaha sedaya upaya dalam menyediakan pemuda-pemuda sehingga mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab menyebarkan Islam sehingga Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Beberapa usaha telah dibuat oleh Rasulullah SAW dalam mentarbiahkan golongan Islam supaya golongan ini membawa Islam yang syumul dari segi percakapan dan perbuatan mereka. Kegemilangan Islam pada zaman dahulu juga dipelopori oleh oleh sahabat-sahabat Baginda yang rata-ratanya adalah dari golongan pemuda. Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa golongan pemuda merupakan tulang belakang umat Islam.

Siapakah para pemuda masa lalu dan siapakah pemuda kita pada saat ini? Para pemuda pada masa dahulu adalah Abdullah bin Rawabah, Ja’far bin Abi Talib, Usamah bin Zaid, Musab bin Umair, Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan ramai lagi. Apa sumbangan mereka kepada Islam dan apakah sumbangan kita kepada Islam? Sedarkah kita bahawa kehidupan yang kita alami hanyalah sebentar sahaja?

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni menyatakan di dalam sebuah buku karangan beliau bahawa antara masalah-masalah yang wujud pada golongan pemuda adalah :

Pertama : Lalai untuk melaksanakan solat jemaah yang juga ditinggalkan oleh orang ramai selain mereka yang dikasihi oleh Allah Tuhan-Mu. Solat jemaah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW hingga Baginda sakit teruk. Solat yang di dalamnya Umar Al-Khattab ditikam oleh sebilah pisau. Solat yang disebut oleh Sa’id bin Al-Musayyab:“ Demi Allah SWT tidak ada pekerjaan yang aku harapkan setelah لا إله إلا الله selain tidak meninggalkan takbiratul ihram untuk bersolat jemaah selama empat puluh tahun.”

Bagaimanakah para pemuda dapat mengakhiri perbuatan keji dan mungkarnya sedangkan dia tidak mengetahui masjid. Bagaimanakah para pemuda selamat daripada dadah dan jenayah sedangkan ayah dan ibunya tidak pernah menunjukkan kepadanya jalan menuju masjid. Terdapat juga orang yang telah melaksanakan solat namun lalai dalam memerintahkan orang lain untuk turut melaksanakan solat jemaah. Siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini?

Kedua : Punca daripada teman-teman yang berperangai buruk, kaum yang di dalam hati mereka diketahui oleh Allah SWT memiliki keburukan, kaum yang tidak pernah mendapat kemenangan di dalam agama dan dunia, mereka yang gagal di sekolah, gagal dalam pekerjaan, sehingga mereka duduk di pinggiran jalan menghalang jalan Allah SWT serta mempengaruhi para pemuda Islam sehingga memiliki kehidupan yang sama seperti mereka.

Adakah seperti ini mensyukuri nikmat? Adakah ini yang disebut sebagai ihsan? Seorang ayah memberikan kepada anaknya apa yang diinginkan olehnya. Anak ini diarahkan oleh syaitannya untuk melakukan segala maksiat, maka dia mendapatkan kereta mewah dan rumah yang luas, Dia membawa sahabat-sahabatnya di dalam keretanya menuju ke tempat-tempat hiburan dan permainan serta menjauhkan mereka daripada Allah SWT. Di manakah para ibu bapa, di manakah orang-orang yang menyuruh membuat makruf dan mencegah kemungkaran?

Ketiga : Hilangnya masa. Masa adalah sesuatu yang berharga bagi kaum muslimin, sama halnya dengan orang-orang yang bukan Islam. Ramai orang yang menghabiskan masa berjam-jam dan umur yang panjang yang tidak sedikitpun mambawa manfaat kepada dirinya sendiri apatah lagi sekalian manusia bahkan amalan yang mereka lakukan membawa mereka kerugian dan penyesalan di hari akhirat kelak.

Ramai pemuda yang memulakan program hariannya daripada Asar hingga Isyak dengan bermain, bersenda gurau, menghadap komputer dan keluar rumah tanpa ada perkara yang dikerjakan, tidak ada perniagaan, tidak ada tugas, tidak ada pencarian rezeki, tidak menghasilkan sesuatu dan tidak ada ketaatan. Kemudian dia kembali menjadi bangkai yang kaku tanpa ada hala tujuan yang kukuh. Kehidupan apakah seperti ini…?

Keempat : Tidak peduli dengan ilmu syariat atau berusaha untuk mendapatkannya. Umat ini selain dirahmati oleh Allah SWT menjadi umat yang berkebudayaan luaran. Umat ini telah berubah daripada umat yang memiliki asas di dalam ilmu-ilmu syariat dan ilmu-ilmu terapan kepada menjadi umat yang hanya memiliki umat yang hanya memiliki pengetahuan umum dan berkebudayaan luaran iaitu ilmu yang sama-sama dikuasai oleh mukmin dan kafir.

Akan tetapi di manakah proses pencarian ilmu tersebut, dan di manakah usaha untuk menuntutnya? Di manakah kesungguhan untuk mengambil manfaat? Di manakah penghafalan matan-matan? Di manakah orang-orang menghafal dan mempelajari Al-Quran? Di manakah orang-orang yang mendalami ilmu hadis? Di manakah orang-orang yang bergelar pemuda? Apa yang dilakukan oleh pemuda-pemuda zaman sekarang?

Abdullah bin Rawahah adalah seorang pemuda berumur tiga puluh tahun membawa pedangnya dan berangkat menuju ke perang Mu’tah di bumi Jordan. Dia memakai kafannya dan menghunus pedangnya. Malamnya digunakan olehnya untuk bersujud serta bertasbih, sedangkan siangnya digunakan untuk berjihad dan berdakwah.

Dia datang ke Mu’tah sebagai mujahid di jalan Allah SWT. Tangan kanannya telah terpotong, namun dia mengambil bendera perang dengan tangan kirinya. Lalu tangan kirinya juga terpotong, maka dia mengambil bendera perang dengan lengan atasnya sehingga para pemanah memanah dadanya sehingga Allah SWT mengangkat darjat beliau di sisi-Nya sebagai seorang syahid.

Ini merupakan contoh salah seorang pemuda yang bertakwa kepada Allah SWT. Akan tetapi, tahukah kita bahawa di antara pemuda-pemuda kita pada zaman sekarang yang rata-ratanya telah berumur dua puluh atau tiga puluh tahun, namun mereka masih lagi tidak mengetahui tujuan mengapakah mereka datang ke dunia ini, mengapakah mereka hidup, ke manakah mereka akan pergi, malah mereka selalu bermain dan tidak mengetahui risalah kehidupan!

Oleh itu, ketahuilah bahawa kita sebagai golongan pemuda mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan dan matlamat ini tidak mengkin dapat terlaksana sekiranya kita tidak berada di dalam sebuah jemaah.

Wahai para pemuda, tanamkanlah di dalam hati kalian semua untuk menjadi seperti mana golongan ‘Hawariyun’ iaitu pengikut Nabi Isa a.s iaitu golongan yang ikhlas menegakkan agama Allah SWT.

Firman Allah SWT :

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah akan menjadi penolong-penolong (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan Bani Israil beriman dan segolongan (yang lain) kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

Surah As-Saff 61;14


Muhammad Ashraf Bin Shamil

Timbalan Presiden

Persatuan Mahasiswa Al-Munir

Thursday, January 6, 2011

Saya Adalah Seorang Muslim

Segala pujian kepada Tuhan Pencipta Alam kerana telah mengurniakan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Menjadi seorang islam menuntut kita menjadikan seluruh kehidupan kita berdasarkan syariatullah serta sunnahtullah yang telah ditetapkan oleh Allah.

Islam merupakan agama rasul-rasul dan nabi-nabi yang terdahulu bermula dari Nabi Adam a.s hingga kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan penutup bagi segala Nabi dan Rasul. Islam membawa makna melaksanakan perintah serta meninggalkan segala larangan-Nya.

Firman Allah SWT :

“Katakanlah bahawa solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh Alam, tidak ada sekutu bagi-Nya dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku, dan aku adalah orang yang pertama berserah diri( muslim ).” Surah Al-An’am ; 162

Islam tertegak di atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Namun tidaklah sempurna keislaman seseorang itu sekiranya dia hanya melaksanakan lima rukun yang tersebut.

Namun haruslah bagi dia mengetahui bahawa islam itu merangkumi segenap bidang kehidupannya. Politik, ketenteraan, akhlak, pendidikan dan lain-lain juga termasuk dalam ruang lingkup kehidupannya. Bahkan islam itu menjawab segala persoalan dunia dan akhirat.Persoalan seperti :

“ Mengapakah aku dijadikan ? “

“ Siapa yang menjadikan alam ini? “

“ Adakah alam ini terjadi dengan sendirinya? “

“ Adakah logik alam yang besar ini ditadbir oleh satu Tuhan? “

Allah menjawab persoalan-persoalan ini dalam Al Quran :

Firman Allah SWT :

“Dan ( ingatlah ) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. “ Surah Al-Zariyat ; 56

Firman Allah SWT :

“ Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duannya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan) : Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai arasy, dari apa yang mereka sifatkan. “ Surah Al Anbiya ; 22

Berdasarkan ayat ini jelaslah bahawa Islam adalah agama yang benar dan Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul untuk mengajak manusia menyembah kepada Tuhan yang Esa iaitu Allah SWT serta menjadikan Nabi Muhammad sebagai teladan dalam kehidupan seharian kita.

Oleh itu, marilah kita mengamalkan Islam dengan menjadikan ia sebagai cara hidup kita. Semoga dengan ini moga-moga kita tergolong dalam golongan yang terselamat dari azab-Nya di akhirat kelak. Carilah akhirat tetapi jangan lupa dunia.


Muhammad Ashraf bin Shamil,

Timbalan Presiden,

Persatuan Mahasiswa Al-Munir