Thursday, January 6, 2011

Saya Adalah Seorang Muslim

Segala pujian kepada Tuhan Pencipta Alam kerana telah mengurniakan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Menjadi seorang islam menuntut kita menjadikan seluruh kehidupan kita berdasarkan syariatullah serta sunnahtullah yang telah ditetapkan oleh Allah.

Islam merupakan agama rasul-rasul dan nabi-nabi yang terdahulu bermula dari Nabi Adam a.s hingga kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan penutup bagi segala Nabi dan Rasul. Islam membawa makna melaksanakan perintah serta meninggalkan segala larangan-Nya.

Firman Allah SWT :

“Katakanlah bahawa solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh Alam, tidak ada sekutu bagi-Nya dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku, dan aku adalah orang yang pertama berserah diri( muslim ).” Surah Al-An’am ; 162

Islam tertegak di atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Namun tidaklah sempurna keislaman seseorang itu sekiranya dia hanya melaksanakan lima rukun yang tersebut.

Namun haruslah bagi dia mengetahui bahawa islam itu merangkumi segenap bidang kehidupannya. Politik, ketenteraan, akhlak, pendidikan dan lain-lain juga termasuk dalam ruang lingkup kehidupannya. Bahkan islam itu menjawab segala persoalan dunia dan akhirat.Persoalan seperti :

“ Mengapakah aku dijadikan ? “

“ Siapa yang menjadikan alam ini? “

“ Adakah alam ini terjadi dengan sendirinya? “

“ Adakah logik alam yang besar ini ditadbir oleh satu Tuhan? “

Allah menjawab persoalan-persoalan ini dalam Al Quran :

Firman Allah SWT :

“Dan ( ingatlah ) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. “ Surah Al-Zariyat ; 56

Firman Allah SWT :

“ Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duannya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan) : Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai arasy, dari apa yang mereka sifatkan. “ Surah Al Anbiya ; 22

Berdasarkan ayat ini jelaslah bahawa Islam adalah agama yang benar dan Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul untuk mengajak manusia menyembah kepada Tuhan yang Esa iaitu Allah SWT serta menjadikan Nabi Muhammad sebagai teladan dalam kehidupan seharian kita.

Oleh itu, marilah kita mengamalkan Islam dengan menjadikan ia sebagai cara hidup kita. Semoga dengan ini moga-moga kita tergolong dalam golongan yang terselamat dari azab-Nya di akhirat kelak. Carilah akhirat tetapi jangan lupa dunia.


Muhammad Ashraf bin Shamil,

Timbalan Presiden,

Persatuan Mahasiswa Al-Munir

No comments:

Post a Comment