Pemuda Islam adalah benteng pertahanan jemaah yang paling kukuh. Sekiranya kita menyusuri sirah Rasulullah SAW kita akan mendapati bahawa Rasulullah SAW sendiri berusaha sedaya upaya dalam menyediakan pemuda-pemuda sehingga mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab menyebarkan Islam sehingga Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.
Beberapa usaha telah dibuat oleh Rasulullah SAW dalam mentarbiahkan golongan Islam supaya golongan ini membawa Islam yang syumul dari segi percakapan dan perbuatan mereka. Kegemilangan Islam pada zaman dahulu juga dipelopori oleh oleh sahabat-sahabat Baginda yang rata-ratanya adalah dari golongan pemuda. Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa golongan pemuda merupakan tulang belakang umat Islam.
Siapakah para pemuda masa lalu dan siapakah pemuda kita pada saat ini? Para pemuda pada masa dahulu adalah Abdullah bin Rawabah, Ja’far bin Abi Talib, Usamah bin Zaid, Musab bin Umair, Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan ramai lagi. Apa sumbangan mereka kepada Islam dan apakah sumbangan kita kepada Islam? Sedarkah kita bahawa kehidupan yang kita alami hanyalah sebentar sahaja?
Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni menyatakan di dalam sebuah buku karangan beliau bahawa antara masalah-masalah yang wujud pada golongan pemuda adalah :
Pertama : Lalai untuk melaksanakan solat jemaah yang juga ditinggalkan oleh orang ramai selain mereka yang dikasihi oleh Allah Tuhan-Mu. Solat jemaah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW hingga Baginda sakit teruk. Solat yang di dalamnya Umar Al-Khattab ditikam oleh sebilah pisau. Solat yang disebut oleh Sa’id bin Al-Musayyab:“ Demi Allah SWT tidak ada pekerjaan yang aku harapkan setelah “لا إله إلا الله” selain tidak meninggalkan takbiratul ihram untuk bersolat jemaah selama empat puluh tahun.”
Bagaimanakah para pemuda dapat mengakhiri perbuatan keji dan mungkarnya sedangkan dia tidak mengetahui masjid. Bagaimanakah para pemuda selamat daripada dadah dan jenayah sedangkan ayah dan ibunya tidak pernah menunjukkan kepadanya jalan menuju masjid. Terdapat juga orang yang telah melaksanakan solat namun lalai dalam memerintahkan orang lain untuk turut melaksanakan solat jemaah. Siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini?
Kedua : Punca daripada teman-teman yang berperangai buruk, kaum yang di dalam hati mereka diketahui oleh Allah SWT memiliki keburukan, kaum yang tidak pernah mendapat kemenangan di dalam agama dan dunia, mereka yang gagal di sekolah, gagal dalam pekerjaan, sehingga mereka duduk di pinggiran jalan menghalang jalan Allah SWT serta mempengaruhi para pemuda Islam sehingga memiliki kehidupan yang sama seperti mereka.
Adakah seperti ini mensyukuri nikmat? Adakah ini yang disebut sebagai ihsan? Seorang ayah memberikan kepada anaknya apa yang diinginkan olehnya. Anak ini diarahkan oleh syaitannya untuk melakukan segala maksiat, maka dia mendapatkan kereta mewah dan rumah yang luas, Dia membawa sahabat-sahabatnya di dalam keretanya menuju ke tempat-tempat hiburan dan permainan serta menjauhkan mereka daripada Allah SWT. Di manakah para ibu bapa, di manakah orang-orang yang menyuruh membuat makruf dan mencegah kemungkaran?
Ketiga : Hilangnya masa. Masa adalah sesuatu yang berharga bagi kaum muslimin, sama halnya dengan orang-orang yang bukan Islam. Ramai orang yang menghabiskan masa berjam-jam dan umur yang panjang yang tidak sedikitpun mambawa manfaat kepada dirinya sendiri apatah lagi sekalian manusia bahkan amalan yang mereka lakukan membawa mereka kerugian dan penyesalan di hari akhirat kelak.
Ramai pemuda yang memulakan program hariannya daripada Asar hingga Isyak dengan bermain, bersenda gurau, menghadap komputer dan keluar rumah tanpa ada perkara yang dikerjakan, tidak ada perniagaan, tidak ada tugas, tidak ada pencarian rezeki, tidak menghasilkan sesuatu dan tidak ada ketaatan. Kemudian dia kembali menjadi bangkai yang kaku tanpa ada hala tujuan yang kukuh. Kehidupan apakah seperti ini…?
Keempat : Tidak peduli dengan ilmu syariat atau berusaha untuk mendapatkannya. Umat ini selain dirahmati oleh Allah SWT menjadi umat yang berkebudayaan luaran. Umat ini telah berubah daripada umat yang memiliki asas di dalam ilmu-ilmu syariat dan ilmu-ilmu terapan kepada menjadi umat yang hanya memiliki umat yang hanya memiliki pengetahuan umum dan berkebudayaan luaran iaitu ilmu yang sama-sama dikuasai oleh mukmin dan kafir.
Akan tetapi di manakah proses pencarian ilmu tersebut, dan di manakah usaha untuk menuntutnya? Di manakah kesungguhan untuk mengambil manfaat? Di manakah penghafalan matan-matan? Di manakah orang-orang menghafal dan mempelajari Al-Quran? Di manakah orang-orang yang mendalami ilmu hadis? Di manakah orang-orang yang bergelar pemuda? Apa yang dilakukan oleh pemuda-pemuda zaman sekarang?
Abdullah bin Rawahah adalah seorang pemuda berumur tiga puluh tahun membawa pedangnya dan berangkat menuju ke perang Mu’tah di bumi Jordan. Dia memakai kafannya dan menghunus pedangnya. Malamnya digunakan olehnya untuk bersujud serta bertasbih, sedangkan siangnya digunakan untuk berjihad dan berdakwah.
Dia datang ke Mu’tah sebagai mujahid di jalan Allah SWT. Tangan kanannya telah terpotong, namun dia mengambil bendera perang dengan tangan kirinya. Lalu tangan kirinya juga terpotong, maka dia mengambil bendera perang dengan lengan atasnya sehingga para pemanah memanah dadanya sehingga Allah SWT mengangkat darjat beliau di sisi-Nya sebagai seorang syahid.
Ini merupakan contoh salah seorang pemuda yang bertakwa kepada Allah SWT. Akan tetapi, tahukah kita bahawa di antara pemuda-pemuda kita pada zaman sekarang yang rata-ratanya telah berumur dua puluh atau tiga puluh tahun, namun mereka masih lagi tidak mengetahui tujuan mengapakah mereka datang ke dunia ini, mengapakah mereka hidup, ke manakah mereka akan pergi, malah mereka selalu bermain dan tidak mengetahui risalah kehidupan!
Oleh itu, ketahuilah bahawa kita sebagai golongan pemuda mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan dan matlamat ini tidak mengkin dapat terlaksana sekiranya kita tidak berada di dalam sebuah jemaah.
Wahai para pemuda, tanamkanlah di dalam hati kalian semua untuk menjadi seperti mana golongan ‘Hawariyun’ iaitu pengikut Nabi Isa a.s iaitu golongan yang ikhlas menegakkan agama Allah SWT.
Firman Allah SWT :
Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah akan menjadi penolong-penolong (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan Bani Israil beriman dan segolongan (yang lain) kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.
Surah As-Saff 61;14
Muhammad Ashraf Bin Shamil
Timbalan Presiden
Persatuan Mahasiswa Al-Munir
No comments:
Post a Comment